Saturday, April 30, 2011

Laporan tentang Pusat Perubatan Syifa Al-Hidayah di Berita Harian

60 rangkain ayat Al-Quran jadi penawar kanser
30.4.2011

Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah promosi mukjizat kitab suci rawat pelbagai penyakit

JIKA dulu orang ingat ayat al-Quran hanya untuk rawatan sihir, santau atau gangguan makhluk halus, tetapi kini kalam Allah diamalkan sebagai usaha mengubati penyakit kronik termasuk kanser serta penyakit moden lain. 

Ashraf Muslim ketika merawat pesakit
Usaha mempromosikan mukjizat al-Quran sebagai kaedah merawat penyakit dijayakan pengamal perubatan menggunakan ayat al-Quran yang juga pengasas Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid, beroperasi di Villa Bestari, Sungai Pusu, Gombak. 

Bermula dengan ikhtiar merawat ibunya yang menghidap penyakit tua, ilmu dan kebolehan dianugerah Allah itu kini dimanfaatkan dengan memberi perkhidmatan rawatan kepada pesakit yang semakin hari jumlahnya terus bertambah.

Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah mula beroperasi sepenuh masa sejak akhir 2010 kini menerima kehadiran mencapai 200 pesakit sehari bermula jam 9 pagi hingga 6 petang sebelum disambung semula selepas Isyak dan berlarutan jam 1, jika masih ada yang mengharapkan rawatan.

Bersama rakan kongsi, Ashraf Muslim dan seorang lagi anak muridnya yang komited menghulurkan bantuan, Zulhaidi Ahmad, pesakit yang datang mendapatkan rawatan dibekalkan surah untuk dibaca, diiringi doa serta tawakal kepada Allah.

Itu kaedah rawatan di Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah yang menggalakkan pesakit menulis sendiri surah untuk dibaca, selain terus diingatkan supaya tidak jemu berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah.
Ada juga disediakan air sebagai memenuhi permintaan pesakit yang berasakan perlu dibekalkan air seperti kebiasaan dalam perubatan Islam, kata Lokman.

Memang sukar menafikan kuasa iklan ‘dari mulut ke mulut’ kerana melalui cara itu kemampuan merawat penyakit melalui pengamalan surah al-Quran mula tersebar dan akhirnya terus menjadi bualan ke hari ini.

“Saya menerima anugerah ini ketika berusia 40 tahun selepas menunaikan umrah. Saya amalkan dengan merawat ibu saya, berusia 89 tahun yang sakit tua. Alhamdulillah, kini mencecah usia 98, ibu sihat dan mampu membaca al-Quran.

“Saya tidak pernah berguru, ilmu ini pemberian Allah. Selepas merawat ibu, kawan isteri dan saudara mara datang untuk berubat dan saya cuba merawat mereka di rumah saya di Bukit Antarabangsa. Sebenarnya ketika itu saya pun tidak pasti sama ada cara rawatan itu betul atau tidak.

“Alhamdulillah, selepas melalui proses percubaan rawatan dan penyembuhan secara berterusan, lama-kelamaan ramai yang datang hingga tertubuh klinik pada 1996. Masa itu saya masih bekerja dan hanya membuat rawatan selepas Isyak,” cerita Lokman pada pertemuan di Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah, baru-baru ini.

Penghujung 2010, beliau mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan di Suruhanjaya Sekuriti untuk memberi tumpuan kepada memberi rawatan dan bersama Ashraf, mereka bergabung tenaga menjayakan usaha itu.

Berbekalkan pengalaman 12 tahun dalam bidang perubatan al-Quran atau Quranic Medicine, Lokman kini sudah mengenal pasti 60 rangkaian ayat untuk penyakit kanser termasuk kanser payu dara, kulit dan hati.

Bagaimana beliau tahu ayat yang sesuai untuk sesuatu jenis penyakit, semua berpandukan kepada gerak hati kerana beliau tidak pernah bermimpi apa lagi mendengar bisikan suara. Selalunya, ayat baru diterima setiap kali kembali menunaikan umrah, setiap tahun. 


Katanya, tidak dinafikan ada juga pesakit mempersoalkan surah diberi untuk diamalkan kerana apabila dibaca terjemahannya, tiada kaitan secara langsung dengan sakit dideritai pesakit atau situasi dilalui mereka.

“Memang ada. Macam ada yang minta ayat untuk murah rezeki, cari jodoh dan dapat anak, saya suruh baca surah al-Waqiah. Tetapi jika tengok makna surah al-Waqiah tiada kena mengena dengan rezeki atau jodoh tetapi ia mengenai hari kiamat.

“Inilah mukjizat al-Quran. Kita tidak tahu rahsia al-Quran hanya Allah saja yang tahu. Surah Israk, ayat 40 dan 55 untuk sakit jantung tersumbat. Beribu yang saya ubat dengan ayat itu, jantung tersumbat jadi baik.

“Rekod mereka di Institut Jantung Negara (IJN) menunjukkan memang ada saluran jantung tersumbat tetapi sementara menanti pembedahan, mereka datang dan amalkan ayat itu, Alhamdulillah apabila diperiksa semula, saluran yang tersumbat sudah tiada lagi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, masih ada kes walaupun sudah mengamalkan surah diberi tetap perlu melalui pembedahan dan ada pelbagai sebab boleh menjelaskannya selain mengakui hakikat hanya Allah yang berkuasa menyembuhkan.

Kerana itu juga, beliau tidak pernah menghalang pesakit yang datang ke pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah mendapat rawatan di hospital, malah akan menggalakkan jika itu dirasakan perlu demi kebaikan mereka.

“Proses penyembuhan tertakluk pada keredaan Allah, ada datang sekali sudah sembuh, ada datang banyak kali tetapi tidak juga sembuh. Jadi, saya tanya jika ada kesalahan dilakukan pesakit, minta ampun dulu kerana jika pergi hospital tetapi Allah tidak reda, tidak sembuh pun.

“Amalan rawatan menggunakan ayat al-Quran disokong doa dan dosa penghalang kepada doa. Macam mana doa nak dimakbulkan, kena buat banyak solat taubat.
Apabila kita minta ampun, dengan izin Allah kabulkan doa kita,” katanya.

Jangan terkejut jika Lokman memberitahu hanya 30 peratus yang datang ke pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah mendapatkan rawatan berkaitan gangguan, sihir dan santau kerana 40 peratus adalah pesakit kanser dan selebihnya penyakit lain seperti epilepsi, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi serta kronik hepatitis.

Beliau berkata, bagi sakit gangguan seperti sihir atau santau, selepas dibuang mereka akan kembali sihat. Berbeza dengan penyakit kanser, banyak ayat serta surah perlu dibaca untuk menyembuhkan atau memperbaiki organ dalam badan, membunuh sel kanser atau darah tersumbat.

Penampilan dalam program Penawar Syifa’ terbitan Astro Oasis dan segmen Syifa’ dalam Nasi Lemak Kopi O di TV9 membolehkan beliau berkongsi ayat al-Quran untuk rawatan penyakit dengan masyarakat.

Ditanya tidakkah beliau bimbang perkongsian itu nanti mengurangkan jumlah mereka yang datang ke pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah, Lokman sambil tersenyum memberitahu, ayat al-Quran bukan haknya dan menjadi tanggungjawab beliau menyebarkan ayat Allah itu.

“Misi saya memartabatkan ayat al-Quran setanding perubatan moden. Jika orang boleh terima itu, Alhamdulillah. Saya gembira jika perkongsian ini memberi manfaat terutama mereka yang menghidap penyakit dan mencari penawarnya,” katanya.

Tarikh 23 April mencatat sejarah untuk Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah yang dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Turut dikongsi pada majlis gilang gemilang ialah hasrat Lokman untuk mendirikan hospital bercirikan persekitaran Islam.

Hospital berkenaan nanti akan sentiasa berkumandang ayat suci al-Quran dan ada ketikanya, ustaz serta ustazah dijemput membacakan ayat al-Quran. Itu impian dan tiga tahun ditetapkan sebagai tempoh menterjemahkan hasrat menjadi realiti

Thursday, April 28, 2011

Ashraf Muslim berhenti berlakon?

Ashraf dan Dayana di hari pertunangan mereka
Sebaik sahaja selesai melangsungkan pertunangan dengan pasangan pilihannya, Noor Dayana Hj. Lokman, 24, Ashraf Muslim, 30, memaklumkan bahawa dia akan berhenti berlakon bagi menumpukan perhatian terhadap bidang yang baru diceburinya iaitu perubatan secara Islam.

“Bagaimanapun keputusan ini bukanlah untuk selama-lamanya, hanya untuk tahun ini. Saya mahu tumpukan perhatian di pusat perubatan ini dahulu. Kalau ada tawaran, mungkin tahun depan saya akan kembali berlakon semula,” ujar Ashraf yang ditemui sejurus majlis pertunangan selesai.

Bercerita tentang gadis pilihan hatinya itu, Ashraf memberitahu dia sudah mengenali Dayana kira-kira setahun setengah yang lalu. Pada awalnya dia hanya mengenali Dayana melalui nama kerana Dayana belajar di luar negara.

“Saya mengenali nama Dayana pada tahun 2009 lagi, tetapi hanya pada 2010 barulah saya berkesempatan berjumpa dengan orangnya. Pertama kali melihat dia, hati saya sudah suka. Dia nampak lemah-lembut dan sopan orangnya.

"Memandangkan saya banyak menghabiskan masa di pusat perubatan ini, saya dan Dayana menjadi bertambah rapat kerana dia turut sama membantu di pusat perubatan ini pada setiap hujung minggu.

"Saya rasa boleh serasi dengan dia kerana kami terlibat dalam bidang yang sama. Walaupun dia dalam perubatan moden, tetapi pengetahuan yang ada padanya banyak membantu saya untuk mempraktikkan perubatan secara islam,” jelas Ashraf.

Ditanya mengapa memilih untuk bertunang pada hari yang sama dengan majlis perasmian Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, Ashraff menjelaskan pada mulanya dia memang tidak berhasrat untuk bertunang pada hari ini. Bagaimanapun, ketika membuat persiapan untuk majlis perasmian, pihak keluarga sepakat untuk adakan bersama majlis pertunangan.

“Oleh kerana sudah ramai tetamu yang dijemput, jadi kami sepakat untuk buat majlis pertunangan sekali. Selain itu, kami juga mahu elak pandangan serong masyarakat sekeliling.

"Saya dan Dayana memang selalu di pusat perubatan ini. Bimbang ada yang tersalah faham, jadi lebih baik kami ikat tali pertunangan dahulu,” ujar Ashraf lagi.

Sementara itu, Dayana menjelaskan dia terpikat dengan Ashraf kerana merasakan pelakon filem ‘Aku Masih Dara’ ini seorang yang baik. Dalam masa yang sama dia juga kagum dengan perubahan tingkah laku Ashraf sepanjang tempoh mengenalinya.

Nikah di Mekah
Majlis pertunangan Ashraf dan Dayana telah berlangsung di Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah, Gombak pada jam 9.45 pagi tadi. Stesen televisyen TV9 turut mengadakan lintas langsung bagi memberi peluang kepada peminat melihat bakal isteri pelakon itu.

Majlis pada pagi tadi dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan acara menyarung cincin. Ibu saudara Ashraf, Fatimah Azil menjadi wakil pihak lelaki bagi menyarungkan cincin pertunangan ke jari manis Dayana. Ini kerana ibu kepada pelakon ini sudah meninggal dunia.

Sebanyak tujuh dulang hantaran telah dihadiahkan oleh pihak lelaki kepada pihak perempuan. Pemberian ini dibalas dengan tujuh dulang. Antara barangan yang disertakan ialah set alat mekap, persalinan, sireh junjung, kek dan buah-buahan.

Pasangan ini bakal melangsungkan pernikahan di Tanah Suci Mekah pada 1 Syawal hadapan. Ashraf, Dayana dan sanak saudara akan berlepas ke Mekah pada 17 Ogos dan akan menghabiskan masa kira-kira dua minggu di sana.

“Kami memilih untuk bernikah di sana kerana mahu mengikut jejak langkah para sahabat nabi. Selain itu, kami juga ingin menunaikan umrah. Selepas nikah nanti, kami akan lakukan ibadah tawaf dan solat sunat sebelum teruskan dengan acara batalkan air sembahyang,” cerita Ashraf.

Selain itu, pasangan ini turut merancang untuk mengadakan majlis resepsi di Shah Alam dan majlis menyambut menantu di Melaka. Bagaimanapun, tarikh dan lokasi masih belum dapat diumumkan.

Tuesday, April 26, 2011

Video Majlis pertunangan Ashraf Muslim dan Dayana

Sunday, April 24, 2011

Sekitar majlis pertunangan Ashraf Muslim dan perasmian Klinik Al-Hidayah

Plague perasmian Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah Gombak

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Perasmian Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah Gombak turut di adakan pada hari yang sama jam 12 tengah hari. Perasmian itu telah di rasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Majlis telah di acarakan oleh Fedtri Yahya dari TV3. Kecil molek je si Fedtri ni. Dalam TV nampak macam besar tapi kat luar comel je.

Untuk perasmian ini, Ashraf dan Haji Lokman memakai pakaian serba hitam. Memang terserlah ketampanan Ashraf Muslim. 

upacara melepaskan 99 ekor rama-rama
Selepas Datuk Seri membuat ucapan dan perasmian, upacara simbolik dengan melepaskan 99 ekor rama-rama telah di adakan hadapan kawasan Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah. Kenapa ya 99 ekor rama-rama? Rama-rama itu di simpan dalam kotak berwarna merah.



Penerangan tentang online booking kepada Datuk Seri

Pusat Rawatan Al-Hidayah juga telah memperkenalkan sistem online booking di mana dapat memudahkan pesakit membuat tempahan untuk ke temujanji di pusat rawatan ini.



Sedang menanti wartawan





Selesai perasmian, orang kuat Pusat Perubatan ini menjalani sessi temuduga bersama-sama wartawan yang hadir. Sempat lah saya mengambil gambar Ashraf Muslim. Walaupun ketika itu bateri kamera saya dah bagi warning nak "padam".

Ashraf nampak letih

Bahagian dalam pamplet
Muka depan pamplet
















Pamplet Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah. Cantik dan menarik konsep hitam dan putih. 

Profail Ashraf Muslim
Antara tetamu yang hadir.
Makanan yang dihidangkan.. lazat

Sekitar majlis pertunangan Ashraf Muslim dan perasmian Klinik Al-Hidayah

Majlis pertunangan Ashraf Muslim dengan Noor Dayana telah bersiaran secara langsung di TV9 dalam rancangan Nasi Lemak Kopi "O" pada 23 April 2011 jam 9.25 pagi. Selain dari majlis pertunangan, Majlis perasmian Klinik nya iaitu Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah Gombak turut di adakan pada hari yang sama jam 12 tengah hari. Perasmian itu telah di rasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dato Seri Mohamed Khaled Nordin

Saya berkesempatan menyaksikan majlis ini di Gombak bersama keluarga saya. Dan sempat bertemu dengan tunangan Ashraf Muslim iaitu Noor Dayana gadis berusia 24 tahun, bakal seorang yang bergelar doktor. Kini sedang menjalani latihan klinikal di Manipal-Melaka Kampus, Air Keroh Melaka. Dayana sebelum ini menuntut di Manipal University di India dalam jurusan kedoktoran dengan tajaan biasiswa MARA.

Berkonsepkan warna ungu dan putih, kedua2 pasangan ini tampil cantik dan suci dengan pakaian rekaan Ezuwan Ismail. Pelamin juga sangat cantik. Kiranya untuk majlis pertunangan ini, sangat meriah apatah nanti majlis persandingan pasti akan lebih meriah dari ini ye tak?

 
Tema pakaian ungu dan putih
Mereka bakal menikah pada 30 Ogos 2011 bersamaan 1 Syawal di Tanah Suci Mekah. Kenapa di Mekah? Menurut Ashraf, dia memilih Mekah kerana mengambil contoh amalan khalifah dan sahabat Nabi Muhammad yang bernikah di sana.
“Dengan izin Allah, kami akan bernikah di Mekah pada 1 Syawal depan. Saya akan bertolak ke sana pada 17 Ogos ini untuk mengerjakan umrah sambil menjalani rawatan bersama-sama bakal bapa mertua saya, Lokman Abdul Hamid dan membawa rombongan umrah. Saya akan berada selama 18 hari di sana dan bakal isteri saya akan datang ke Mekah menjelang hari pernikahan kami. Selepas nikah, kami akan melakukan tawaf dan menziarahi Mekah sebelum pulang pada 2 September nanti,” kata Ashraf ketika sidang media selepas majlis pertunangannya di Kampung Sungai Pusu, Gombak.
Mereka dijangka akan melangsungkan majlis resepsi perkahwinan pada 10 September depan di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Bagaimana mereka berjumpa? Apa yang menarik minat Ashraf Muslim terhadap Dayana?

Senyuman manis Noor Dayana
Menurut Ashraf, dia tertarik dengan sifat solehah yang ada pada Dayana, seorang yang rendah diri, banyak memberi nasihat kepadanya, serta seorang yang bersopan santun dan dapat menerima diri Ashraf seadanya. Ashraf telah melamar Dayana pada 2 bulan yang lalu setelah berkenalan hampir 2 tahun. 
“Saya tahu, kami senang berjumpa memandangkan saya bekerja di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang berhampiran dengan rumah keluarganya. Bagaimanapun, kami selalu beringat untuk menjaga batas dalam hubungan ini. Sebab itu sebolehnya kami ingin segerakan perkara yang baik ini (kahwin) bagi mengelakkan timbulnya fitnah,” ujar Ashraf yang merahsiakan jumlah wang hantaran perkahwinan mereka.

Sama cantik sama padan
“Kami kenal setelah selalu berjumpa di klinik itu dan dia merupakan seorang yang suka merendah diri, bertudung, solehah, sedap mata memandang dan selesa dengannya. Yang penting, saya tertarik dengan hati budinya yang suka merendah diri dan baik hati serta selalu menasihati saya. Kalau boleh saya tidak mahu bertunang terlalu lama dan jika diizinkan Allah, kami mahu segera nikah pada tahun ini. Sejak sibuk dengan klinik, saya sudah kurang berlakon dan selepas ini akan lebih berhati-hati memilih cerita dan watak demi mengelak timbulnya fitnah. Saya akan mengelak dari adegan berpegang-pegangan tangan atau bersentuhan dengan wanita termasuk semasa sesi fotografi. Jadi, saya tidak akan bergambar berdua-duaan dengan wanita dan berharap semua pihak menghormati keputusan saya.” – Ashraf Muslim

Hantara dari kedua-dua belah pihak

Dalam majlis itu, pihak perempuan menerima lima hantaran berupa buah-buahan, persalinan, kek, cincin dan siri junjung manakala tujuh hantaran untuk pihak lelaki iaitu kain songket, persalinan, set wangian, kek, coklat, sirih junjung dan cincin.

Saya dan Dayana








Saya kagum melihat rumah Haji Lokman, sangat cantik dan besar. Sempat lah saya bergambar bersama Dayana. Pertama kali berjumpa dengan beliau, tak lekang senyuman di bibirnya. dan sangat lemah lembut berkata-kata. Walaupun penat melayan tetamu yang bergambar dengan nya, tapi Dayana tetap tersenyum tatkala saya minta bergambar bersama. Patutlah Ashraf Muslim terpikat dengan Dayana. Memang sopan orangnya. Bertuah badan... Semoga berkekalan hingga ke hujung nyawa hendaknya...

Kami dah tunang.

Bersambung... kisah perasmian

Thursday, April 21, 2011

Ashraf Muslim akan bertunang

Ashraf bertunang pada 23 April 2011
PETALING JAYA: Pelakon Ashraf Muslim, 30, (gambar) menamatkan teka-teki tentang statusnya apabila dia akan bertunang dengan wanita berusia 24 tahun pada 23 April ini di rumah wanita itu di Gombak.

Dia yang menjangkakan akan menamatkan zaman bujangnya pada tahun ini, bagaimanapun enggan mendedahkan nama wanita tersebut yang kini sedang menjalani latihan praktikal sebagai doktor perubatan di sebuah hospital di Melaka.

Kata pelakon yang popular menerusi drama Ustaz Amirul itu, dia belum bersedia untuk mendedahkan tentang buah hatinya itu sehingga tiba majlis pertunangannya nanti.

Selepas majlis pertunangan yang dijangka berlangsung pada pukul 11 pagi itu, pada hari yang sama Ashraf turut akan mengadakan majlis perasmian kliniknya iaitu Pusat Perubatan Islam Al-Hidayah di Gombak pada pukul 12 tengah hari.

Klinik tersebut akan dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut pelakon filem Aku Masih Dara ini, klinik itu telah beroperasi sejak 11 tahun lalu dan perasmian ini sempena dengan penukaran nama barunya setelah dia menyertai rakan kongsinya, Lokman Abdul Hamid.

“Kalau mahu mengenali siapa tunang saya, jemputlah ke majlis pertunangan dan klinik saya semasa majlis perasmian nanti. Setelah berbincang, kami memutuskan untuk membuat kedua-dua majlis itu pada hari yang sama.

“Kebetulan, rumah dia dan klinik saya agak berdekatan. Menariknya, stesen TV9 juga akan membuat siaran langsung majlis pertunangan dan perasmian klinik saya pada hari itu,” kata pengamal perubatan Islam yang mendalami bidang tersebut sejak dua tahun lalu.

Bercerita tentang hubungan mereka, Ashraf mengenali wanita itu lebih setahun lalu dan berhasrat menyunting wanita itu pada bulan lalu.

“Kami kenal setelah selalu berjumpa di klinik itu dan dia merupakan seorang yang suka merendah diri, bertudung, solehah, sedap mata memandang dan selesa dengannya.

“Yang penting, saya tertarik dengan hati budinya yang suka merendah diri dan baik hati serta selalu menasihati saya.

“Kalau boleh saya tidak mahu bertunang terlalu lama dan jika diizinkan Allah, kami mahu segera nikah pada tahun ini,” ujarnya.

Tambahnya: “Sejak sibuk dengan klinik, saya sudah kurang berlakon dan selepas ini akan lebih berhati-hati memilih cerita dan watak demi mengelak timbulnya fitnah.

“Saya akan mengelak dari adegan berpegang-pegangan tangan atau bersentuhan dengan wanita termasuk semasa sesi fotografi. Jadi, saya tidak akan bergambar berdua-duaan dengan wanita dan berharap semua pihak meghormati keputusan saya.”

Dalam perkembangan lain, Ashraf juga muncul di program Nasi Lemak Kopi O di TV9 pada setiap Jumaat, pukul 8 hingga 10 pagi.

Ashraf mengendalikan sebuah slot yang memaparkan tentang cara perubatan Islam.

Ashraf di Majalah i

Ashraf ingin berdakwah melalui lakonan

Umrah bersama Ashraf dan Haji Lokman



PAKEJ UMRAH

Mulai tahun ini, kami akan mengadakan pakej umrah pada bulan June ini dan inshallah Ramadhan 10 hari terakhir.

Jadual lawatan umrah untuk bulan June ini adalah seperti berikut:

Tarikh : 21 June dan 24 June
Jumlah Hari : 13 hari 11 malam
Harga pakej untuk 4 sebilek : RM5,720

Hotel di Makkah : Hotel Ufuk Al Fateh atau setaraf (jarak lebih kurang 100 meter)

Hotel di Madinah : Hotel Al Mubarak atau setaraf (jarak lebih kurang 80 meter)

Harga tambahan untuk 2 sebilek : +RM600 seorang

Harga tambahan untuk 3 sebilek: +RM300 seorang

Kepada pesakit-pesakit yang menyertai pakej umrah ini, harga pakej ini juga termasuk sessi rawatan bersama saya dan Ashraf Muslim di Makkah.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Ayu Muslim melalui talian 03 6186 7368 waktu pejabat sahaja. Borang pendaftaran boleh didapati di klinik kami.

Sekian terima kasih.

Hj. Lokman dan Mohd Ashraf Muslim
9 Februari 2011

Ashraf cuma guna al-Quran

Ashraf sedang merawat pesakit
JIKA dahulu dia hanya melakonkan watak ustaz penghalau hantu dalam drama bersiri Puaka Niyang Rapik, Ashraf Muslim, 29, kini bertugas sepenuh masa sebagai pengamal perubatan Islam.

Ashraf mengubat pelbagai jenis penyakit sama ada berbentuk fizikal seperti sakit jantung mahupun penyakit spiritual yang melibatkan gangguan makhluk halus.

Kru Jurnal berpeluang melihat sendiri Ashraf mengubat pesakit di Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah yang terletak di Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor baru-baru ini.

Menyaksikan sendiri jumlah pesakit yang datang, ternyata Ashraf tidak main-main.

Pengunjung terdiri daripada semua peringkat usia. Mereka datang dari seluruh negara termasuk Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Ada juga yang sanggup bermalam di ibu negara sama ada di hotel mahupun rumah saudara-mara asalkan mendapat rawatan di situ.

Difahamkan, proses rawatan itu bermula selepas Isyak sehingga pukul 3 pagi.

Mengimbas kembali transformasi dirinya daripada seorang pelakon kepada pengamal perubatan Islam, Ashraf mengakui proses itu bukanlah sesuatu yang mudah

Ahsraf sedang merawat pesakit

Hijrah

“Ia satu penghijrahan diri, semua orang kena lalui. Proses perubahan itulah yang menjadikan saya lebih kuat dan lebih memikirkan apa yang salah dan betul.

“Sebelum ini memang saya ada duit, kerja, kereta, rumah dan kawan-kawan. Bagaimanapun, hati saya terasa kosong.

“Sampailah saya berjumpa pengasas pusat perubatan ini, Haji Lokman. Dia kata, Ashraf, pergi dekatkan diri dengan Tuhan.

“Caranya, saya sembahyang sunat taubat, sunat hajat dan pergi menunaikan umrah.

“Balik daripada umrah, saya rasa gembira dan lega. Perjalanan hidup pun semakin tenteram manakala rezeki bertambah hingga sekarang,” katanya.

Ashraf mula berkenalan dengan Haji Lokman Abdul Hamid ketika membawa seorang adiknya berubat di situ.

Haji Lokman juga ialah orang yang bertanggungjawab mengajar Ashraf ilmu perubatan Islam dan membuka Pusat Perubatan Syifa’ Al-Hidayah.

Menurut Ashraf, rawatan yang diberikan adalah menggunakan ayat-ayat al-Quran tanpa sebarang perantaraan mahupun khidmat daripada makhluk halus.

Selepas berubat, pesakit akan diberikan ayat-ayat daripada surah tertentu untuk diamalkan, yang berfungsi sebagai penawar penyakit.

Orang ramai datang untuk mendapatkan rawatan bagi pelbagai jenis penyakit.

Daripada yang menderita penyakit kronik hinggalah sekadar meminta air penerang hati.

“Namun, yang ada hanyalah ayat penerang hati, air penerang hati tidak ada.

“Semasa merawat, al-Quran kita mesti baca, baru kita ingat kepada Allah. Paling penting adalah doa.

“Air tidak penting, ia sekadar syarat. Kebiasaannya orang Melayu nak ada air, jadi kita bagi air, tapi baca al-Quran lagi penting.

“Kalau air dah habis tidak menjadi masalah sebab yang menjadi ubat ialah ayat al-Quran, bukan air.

“Sebagai contoh, untuk sakit tulang seperti artritis, surah yang perlu dibaca ialah surah Qaf dari ayat 16 hingga ayat 45. Selepas baca kita berdoa pada Allah mohon apa yang dihajati,” katanya.

Berlakon

Pemegang Diploma Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC) dan anak kelahiran Teluk Mas, Melaka ini berpendapat perubatan Islam bukan untuk golongan ustaz semata-mata.

TIADA khidmat makhluk halus, Ashraf ketika merawat pesakit.

“Sebenarnya Tuhan tengok hati. Haji Lokman pun latar belakangnya bukan seorang ustaz, sebaliknya dia seorang ahli korporat. Dia berhenti kerja semata-mata untuk kerja ini (mengubat).

“Kerja ini untuk semua orang, tapi hati kenalah ikhlas. Saya juga manusia biasa.

“Yang penting, solat lima waktu jangan tinggal, buat perkara wajib, tinggalkan perkara yang dilarang,” katanya.

Kini, Ashraf fokus dengan pilihannya biarpun terpaksa melupakan karier lakonannya buat seketika.

“Berlakon itu bila-bila masa pun boleh. Sebelum ini saya buat dua-dua (berlakon dan mengubat). Tapi kadang-kadang kita perlu fokus pada satu-satu perkara,” katanya.

Ashraf Muslim Jelaskan Gosip Bercinta Dengan Linda Hashim

Linda Hashim dan Ahsraf Muslim
KUALA LUMPUR: Pelakon Ashraf Muslim menafikan khabar angin yang mengatakan dia kini sedang menjalinkan hubungan cinta dengan dramatis Linda Hashim. Kata Ashraf, dia dan Linda hanya sekadar teman rapat iaitu ketika sama-sama menjayakan sebuah drama berjudul Gerakan Marin dan hanya bertemu ketika di lokasi penggambaran sahaja.

"Saya dan dia hanya sebagai rakan artis, tidak lebih dari itu. Kami berlakon bersama dalam drama Gerakan Marin beberapa bulan lalu.

"Memang ketika penggambaran kami rapat seperti pelakon-pelakon yang lain juga, namun selepas habis penggambaran kami tidak pernah berjumpa," jelasnya yang telah menunaikan umrah hujung Ramadan lalu. Dalam pada itu, Ashraf mengakui dia masih belum mempunyai teman istimewa selepas berpisah dengan pelakon Sherry Ibrahim tahun lalu.

"Bukan saya memilih tapi saya belum jumpa yang benar-benar membuatkan hati saya terbuka semula untuk bercinta. Selain itu saya juga kini lebih fokus kepada kehidupan sebagai seorang muslim. "Siapa yang tidak mahu bercinta tapi biarlah ia datang sendiri, semasa di Tanah Suci, Mekah, ada juga saya meminta agar dipermudahkan perjalanan dan dipertemukan dengan seorang perempuan yang solehah untuk dijadikan isteri," katanya.

Bercerita tentang pengalaman ketika mengerjakan umrah, Ashraf memberitahu banyak pengalaman menarik sepanjang berada di sana.

"Banyak peristiwa yang memberi kesedaran kepada saya sepanjang di Tanah Suci. Kita dapat lihat semua orang di sana benar-benar ingin menunaikan ibadat. "Ada juga peristiwa yang memberi keinsafan kepada saya sebagai hambanya, saya dapat lihat kebesaran Allah di depan mata dan rasa terlalu kerdil," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ashraf Muslim Dianggap Bomoh Ilmu Hitam

PETALING JAYA: Pelakon kacak, Ashraf Muslim kesal dengan pandangan segelintir masyarakat yang menganggap teknik rawatan alternatif dan perubatan tradisional yang diamalkan telah disamakan dengan bomoh.

Jelas Ashraf, teknik perubatan tersebut hanya berpandukan kepada ayat-ayat suci al-Quran dan tidak mengamalkan jampi serapah atau ilmu hitam.

"Saya agak kecewa sebab ada juga segelintir yang anggap saya seperti bomoh. Jika mereka tidak percaya atau berasa was-was dengan saya, itu terpulanglah.

"Tapi saya memang seratus peratus hanya berpandukan ayat suci al-Quran bagi mengubati pesakit," katanya yang mengubati pesakit di Pusat Perubatan Darussyifa', Kampung Sungai Pusu, Gombak sejak dua bulan lalu.

Dalam pada itu, Ashraf mengakui kerjayanya sebagai seorang pelakon sedikit sebanyak mengganggu kepercayaan pesakit kepadanya.

"Ada juga pesakit yang datang untuk berubat dan apabila mereka lihat saya, mereka anggap saya sedang berlakon sehinggakan kadang-kadang membuatkan saya marah.

"Tapi bagi saya mereka perlu percaya pada Allah dan al-Quran. Saya hanya sekadar membantu sahaja," katanya.

Ashraf berkata, sebagai pengamal perubatan cara Islam dia juga sentiasa menjaga batasan dan perlakuannya terutamanya ketika berlakon.

"Sudah semestinya saya menjaga setiap perlakuan, percakapan, penglihatan terutamanya ketika berlakon. Kalau boleh saya akan tolak adegan yang pegang tangan, berpelukan dan atas katil.

"Untuk melakukan perkara tersebut saya boleh berbincang dengan pengarah. Apa yang penting ialah mesej tersebut sampai kepada penonton walaupun tanpa adegan seperti itu," katanya.

Selain itu, menurut pelakon itu, sambutan terhadap pusat perubatan tersebut meningkat membuatkan dia terpaksa membahagikan masa antara lakonan dan aktiviti perubatannya.

"Sambutan semakin meningkat, sehari lebih dari 60 pesakit datang, kebanyakannya yang menghadapi sakit seperti kanser dan misteri.

"Saya juga terpaksa membahagikan masa iaitu lakonan pada sebelah siang dan mengubati pesakit pada sebelah malam sahaja," katanya

Angin baru Ashraf

KETIKA jejaka ini muncul pada majlis pelancaran musim ketiga program realiti Gadis Melayu, perwatakannya jauh berbeza dengan Ashraf Muslim yang dulu.

Dia yang segak dengan baju Melayu rona jingga lembut, kelihatan sedikit pendiam berbanding perwatakannya sebelum ini yang peramah dan ceria. Dia lebih serius, tutur katanya pula disusun penuh berhati-hati.

Temu bual antara media dengan pemuda berasal dari Telok Mas, Melaka itu tidak dapat berlangsung lama kerana dia perlu memulakan tugasnya mengacarakan majlis. Selesai majlis, Ashraf memohon diri untuk beransur kerana mahu menunaikan solat tarawih di Gombak.

Gara-gara kesuntukan masa, banyak soalan yang mahu diajukan tidak berjawab malam itu. Lalu, satu temu bual lain diatur menerusi telefon. Dalam kesibukannya yang mahu bergegas ke lokasi penggambaran, jejaka berusia 29 tahun itu masih sudi menjawab panggilan Hip.

Akui anak sulung dari lapan beradik ini, sejak menjadi Tenaga Pengamal Perubatan Islam melalui a-Quran di Syifa Al Hidayah sejak setahun lalu, dia mula berubah dan cuba mengawal diri.

"Saya masih orang yang sama. Cuma kini saya lebih menjaga percakapan. Memang saya akui saya kurang bercakap dan tidak lagi ligat seperti dulu. Sejak terbabit dengan ilmu perubatan ini, maruah diri juga perlu saya jaga dengan lebih baik lagi.

"Pemikiran dan wawasan saya juga berbeza, tidak lagi seperti dulu. Kini saya tahu apa yang saya mahukan dalam hidup. Dulu fokus saya hanya pada kerja, tetapi sekarang saya perlu seimbangkan antara dunia dan akhirat," kata Ashraf.
Sejak bergelar pengamal perubatan alternatif cara Islam, Ashraf menemui ketenangan kerana dapat membantu mereka yang memerlukan terutamanya penderita kanser. Malah, masanya kini dibahagi dua antara kerjaya seni dan tugasnya sebagai pengamal perubatan alternatif.

"Biasanya selepas penggambaran, saya akan bergegas ke Gombak untuk membantu Haji Lokman (pemilik pusat rawatan berkenaan). Di situ memang hanya kami saja yang mengubat orang, sebab itu jika sesiapa yang berhasrat untuk berubat perlu membuat temu janji terlebih dulu.

"Setakat bulan Ogos, sudah ada 7,000 pesakit berada dalam senarai menunggu sehingga bulan Mac tahun depan. Kami tidak menggunakan perantara untuk merawat pesakit, sebaliknya semuanya hanya berpandukan kepada ayat al-Quran saja," terang Ashraf lagi.

Melihat kesungguhannya dengan 'cinta' barunya itu, Hip bertanya mungkinkah satu hari nanti dia tidak teragak-agak meninggalkan dunia hiburan dan memberikan 100 peratus fokus kepada tugas barunya itu.

Jawab Ashraf, dia tidak menolak jika itu yang akan berlaku dalam perjalanan kehidupannya. Namun setakat ini, gurunya tidak pernah menghalangnya daripada meneruskan kerjayanya sebagai pelakon.

"Dia tak pernah menghalang, tetapi saya sendiri yang perlu fikir. Bagi saya tak salah jika mahu terus berlakon tetapi saya perlu fikir sampai saya ingin melakukannya hingga ke tahap mana. Sebenarnya saya lebih suka berniaga tetapi entah bagaimana kecenderungan saya kini terarah kepada dunia lakonan dan saya menganggap ia sebagai tanggungjawab," katanya.

Ramadan dan Syawal tanpa ibu

KETIADAAN insan tercinta bernama ibu yang kembali ke rahmatullah sejak lima tahun lalu masih dirasai pemuda ini.

Katanya, ketiadaan ibu menyebabkan Ramadan dan Syawal terasa cukup berbeza.
Kalau sebelum ini, ibunya adalah orang yang paling sibuk menyediakan pelbagai juadah untuk anak-anak, tetapi kini, Ashraf dan adik-adiknya terpaksa berdikari.

"Walaupun emak sudah lima tahun meninggal dunia, tetapi kerinduan dan bayangannya masih lagi bermain di fikiran.

"Kalau dulu, apa bila tiba bulan puasa, perkara paling utama yang akan kami lakukan adalah berbuka bersama-sama. Tetapi sekarang ini saya lebih banyak makan makanan bungkus. Bila berbuka puasa di rumah rakan-rakan atau saudara mara pula, mulalah teringat kenangan bersama arwah emak.

"Jika hari raya pula selalunya ada juga tolong emak di dapur. Biasanya pada
malam raya akan tidur lewat, tetapi sejak emak tiada saya hanya akan pulang ke kampung pada pagi raya. Alhamdulillah walaupun emak sudah tiada, hubungan kami adik beradik masih kuat.

Kami adik beradik tinggal merata-rata tetapi ada juga adik yang tinggal bersama. Jadi sesekali kami buat temu janji untuk berjumpa. Sebagai abang sulung, saya kasihan melihat adik-adik yang membesar tanpa kasih sayang emak sepenuhnya. Kalau saya yang sudah besar terasa kehilangan emak, apatah lagi mereka yang ketika itu masih kecil serta masih memerlukan memerlukan kasih sayang seorang emak," kata Ashraf yang merindui kuah kacang air tangan ibunya yang meninggal dunia akibat barah payu dara.

Jiwa saya kini tenang

SEJARAH cintanya dengan pelakon Sherry Ibrahim tidak mahu diulas lagi. Baginya hubungan itu sudah pun berakhir dan memilih untuk tidak memberi komen terhadap perkara itu kerana tiada apa yang perlu diperkatakan lagi.

"Saya menganggap kami tiada jodoh. Buat masa ini, saya selesa dengan kehidupan solo dan sibuk menguruskan perniagaan. Setakat ini, saya tidak memikirkan soal kahwin kerana biarlah semuanya ditentukan Tuhan. Saya yakin ia tak ke mana," kata pelakon kacak, Ashraf Muslim.

Ditanya sama ada dia cuba menyembunyikan identiti kekasih barunya, anak muda kelahiran Melaka ini mengakui tiada sebab dia harus menyimpan rahsia. Katanya, perkara baik buat apa hendak disorok dan wajar berkongsi dengan masyarakat.

"Bagaimanapun, memang sekarang ini tiada sesiapa dalam hati saya. Macam mana hendak mengaku dan saya takkan sesekali menipu. Dalam soal ini, saya berserah kepada Tuhan dan andai kata memang sudah sampai seru ke arah itu (perkahwinan), ia pasti diuar-uarkan.

"Sehubungan itu, saya harap tiada lagi sangkaan buruk terhadap diri ini. Bahkan, saya juga ingin menjelaskan tiada niat di hati ini untuk menjauhkan diri daripada media. Cuma, saya memang tiada masa untuk menghadiri sebarang sesi fotografi," katanya.

Menyentuh soal dia mahu mengelak daripada persoalan punca putus kasih itu, Ashraf berkata sebagai artis, dia tahu tidak mungkin dapat menghindarkannya. Namun, katanya, perkara itu sudah berlaku dan buat apa hendak dikenang lagi.

"Apa yang boleh saya katakan, saya tenang dan selesa dengan jalan hidup di pilih sekarang. Kalau dulu, saya akui tercari-cari ketenangan dan kini apabila sudah mendekati Tuhan, semua jawapan itu ditemui. Inilah hidup yang saya perlukan.

"Saya akui sebagai manusia biasa, semestinya tidak boleh lari daripada tuntutan hakiki. Selain sibuk mencari rezeki untuk menampung kehidupan di dunia, pastinya kerohanian hati tidak dilupakan. Semestinya dunia dan akhirat harus seimbang," katanya.

Mengenai aktiviti lakonan pula, bagaimana Ashraf mahu berhadapan tanggungjawabnya ketika diminta pengarah memegang tangan artis wanita atau terbabit adegan romantik, katanya, dia akan pastikan tidak melakukan lebih daripada sepatutnya.

"Setakat berpegangan tangan, mungkin saya akan pertimbangkan, tetapi untuk berpeluk takkan saya lakukan kerana ia menjadi prinsip diri sekarang. Saya harus menghormatinya dan sudah pasti berbincang dengan pengarah supaya dia memahami.


"Saya sedar perbincangan penting untuk mencapai kata putus. Malah, di negara ini saya juga dapati pengarah memahami kehendak pelakon dan hormat dengan sebarang permintaan asalkan mereka dimaklumkan lebih awal. Itulah yang saya lakukan," katanya

Ashraff Belum Sahkan Jadi Pengacara Gadis Melayu

PELAKON kacak, Ashraf Muslim tidak dapat mengesahkan sama ada untuk mengacarakan rancangan Gadis Melayu musim ketiga seperti heboh diperkatakan sekarang ini.

Ini kerana pelakon itu terikat dengan jadual penggambaran drama Ilusi dan komitmen lain.

"Saya telah terima tawaran itu tetapi belum tandatangan apa-apa kontrak lagi.

"Ini kerana saya perlu melihat jadual kerja saya nanti sama ada bertindan dengan jadual kerja saya yang lain," katanya kepada MStar Online.

Ketika dihubungi, Ashraf sedang berehat semasa penggambaran drama Ilusi dan nada suaranya dapat membayangkan keletihannya.

Pada awal musim Gadis Melayu, Fahrin Ahmad ditampilkan sebagai pengacaranya.

Menurut Ashraf, dia diberi tempoh masa seminggu lagi untuk membuat keputusan sama ada bersetuju mengacarakan program popular itu.

"Insya-Allah, saya dapat membuat keputusan pada minggu depan selepas mempertimbangkan jadual-jadual kerja nanti.

"Jika ikutkan hati, memang saya beria-ia ingin mengacarakan Gadis Melayu," katanya sejujurnya.

Lebih-lebih lagi, akui pelakon watak Inspektor Reza dalam drama bersiri Pasukan Gerakan Marin (PGM) ini, dia pernah menjadi pengacara program Program Syifa (Penawar) di saluran Astro Oasis.

Ashraf Amal Perubatan Tradisional

Ashraf Muslim
PELAKON kacak, Ashraf Muslim mengesahkan dia telah membuka satu klinik pengamal perubatan tradisional pada tahun ini, iaitu Pusat Perubatan Darussyifa' di Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Jelasnya, ia adalah perubatan Islam yang berlandaskan al-Quran. Penawarnya melalui ayat-ayat suci yang dilafazkan kepada pesakit.

"Saya ada klinik. Memang saya ada mengamalkan perubatan tradisional tetapi saya buat secara sambilan. Sekarang sudah ramai pesakit," katanya ketika ditemui mStar Online pada sesi ramah mesra drama bersiri Ilusi baru-baru ini.

Ashraf berkata, hatinya terdetik untuk menguasai ilmu perubatan tersebut dengan bergurukan Haji Lokman datang secara semula jadi.

Menurutnya, dia telah belajar ilmu rawatan itu selama dua tahun.

Selain membantu pesakit sembuh, Ashraf memberitahu, dia dapat merasai perubahan hidup tetapi penampilannya di set penggambaran mahupun di luar lokasi penggambaran masih sama.

"Contohnya, kesedaran dalam diri sendiri. Terdapat banyak benda yang tak patut kita buat kerana ia bukan sahaja membuang masa malah merosakkan masa depan," katanya yang sebelum ni merupakan hos untuk rancangan perubatan, Syifa al Hidayah di Astro Oasis.

Tambahnya, dengan kesedaran itu, dia menjalani kehidupan dengan lebih bermakna.

Sementara itu, Ashraf turut mempelbagaikan pelbagai produk perniagaan yang diusahakannya.

Jika di peringkat awal, dia menternak lembu serta menjalankan kerja-kerja pemasaran.

"Mula-mula buat lembu, sekarang dah ada kira-kira 600 ekor kambing. Saya pelbagaikan lagi kepada ikan keli, ketam bercangkerang lembut atau keras dan lain-lain," ujarnya.

Dalam banyak-banyak bidang yang diceburinya, Ashraf akan memilih satu bidang yang lebih seimbang antara kerjaya serta kehidupan persendiriannya.

Dia yang kini bujang menyasarkan untuk mendirikan rumah tangga sekiranya menemui jodoh. -mStar