Thursday, August 18, 2011

Debaran Ashraf



“MENITI perjalanan menuju ke gerbang perkahwinan adalah satu pengalaman yang sukar diterjemah dengan kata-kata kerana segala-galanya bagai satu teka-teki.

Seronok dan bersyukur, namun ada kalanya timbul pula rasa berdebar dan gusar. Tapi itulah keindahan yang saya rasai ketika ini,” jelas pelakon dan pengacara kacak, Ashraf Muslim, 30, yang kini menghitung hari detik pernikahannya dengan gadis pilihan yang tidak sampai dua minggu lagi.

Pelakon utama drama siri Ustaz Amirul yang kini lebih banyak meletak fokus pada lapangan perubatan Islam ini mengambil keputusan melangsungkan pernikahan dengan Noor Dayana Lokman, 24, di Makkah pada 30 Ogos yang juga 1 Syawal selepas bertunang pada 23 April lalu.

Ashraf yang tidak henti mengucap syukur, mengakui semuanya begitu pantas namun apa yang penting adalah melunaskan mana yang wajib.


“Memang saya dan Dayana mengambil keputusan dengan pantas, namun semuanya adalah perancangan bersama. Sengaja kami memilih untuk bernikah pada 1 Syawal di Masjidil Haram mengikut sunnah Nabi dan para sahabat. Mungkin ini adalah yang terbaik buat kami berdua juga keluarga yang me�restui sejak awal perkenalan.


“Saya akui begitu berdebar lebih-lebih lagi apabila semakin hampir dengan tarikh pernikahan. Bukan kerana tidak bersedia, namun saya bimbang dengan tanggungjawab yang bakal saya pikul. Alhamdulillah, semuanya lancar dan kini saya yakin pernikahan ini adalah keputusan terbaik.

“Saya sudah sedia menjadi seorang suami dan pemimpin keluarga. Sudah lama saya nantikan saat ini dan syukur Allah permudahkan perjalanan kami,” katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, Selasa lalu.

Dalam kunjungan itu, Ashraf menghantar kad jemputan untuk majlis perkahwinannya pada 17 September nanti selepas melangsungkan pernikahan di Makkah.

Kad undangan kahwin Ashraf menarik seperti al-Quran bermula dengan surah Al-Fatihah dan surah Muhammad, barulah urusan perkahwinan. Ia direka khas untuk Ashraf oleh kadkahwinku.com.

Ashraf dan rombongannya berlepas ke Tanah Suci jam 10 pagi semalam bersama bakal ayah mentuanya, Lokman Abdul Hamid yang juga pemilik Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Gombak serta dua lagi sahabatnya bagi mencuri peluang mengerjakan umrah terlebih dulu.

Dayana yang akan tamat pengajian jurusan perubatan di Universiti Manipal, India pada Mac tahun depan, kini mengikuti kursus praktikal di Melaka dan bakal menyusul ke Makkah seminggu kemudian bersama ahli keluarga terdekat untuk majlis akad nikah.

Pasangan ini kemudian pulang ke tanah air selepas seminggu menyambut Syawal di sana dan bakal melangsungkan majlis resepsi pada 17 September depan di rumah pengantin perempuan di Gombak dan seminggu kemudian untuk majlis bersanding sebelah lelaki bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Mengenai jumlah hantaran, Ashraf enggan mendedahkan jumlahnya. Katanya, dia bertuah kerana banyak pihak terutama�nya keluarga kedua-dua belah pihak banyak membantu.

Tidak hanya dipertemu jodoh dengan gadis idaman, sebaliknya Dayana bagai melengkapi hidupnya selepas hampir tiga tahun bersendirian tanpa kekasih sejurus menamatkan hubungan cinta bersama dramatis, Sherry Ibrahim.

“Saya bahagia sekarang dan benar-benar miliki apa yang pernah saya bayangkan. Perkenalan, mengenali hati budi dan terus mengikat tali pertunangan hingga kini berjaya mencatur langkah ke sebuah fasa perkahwinan, ia saya sifatkan sebagai satu keikhlasan, jujur dan rasa yakin.

“Dayana memang pilihan saya kerana dia memiliki apa yang saya inginkan. Bukan sekadar solehah dan berbudi pekerti, malah dia begitu memahami dan punya keserasian dengan saya membuatkan sepanjang perkenalan ini saya begitu selesa dan percaya dengannya.

“Insya-Allah inilah kebahagiaan yang saya cari dan apa yang perlu kini adalah komitmen dengan meletak sepenuh fokus untuk membentuk keluarga sempurna,” jelasnya yang tidak memikirkan soal anak sebaliknya menyerahkan semuanya kepada takdir dan rezeki.

Ashraf yang juga anak sulung daripada lapan beradik, akan terus bersama pusat perubatan dan terus berusaha mengejar impian untuk memiliki hospital perubatan sendiri.

Saturday, August 13, 2011

Kad jemputan kahwin Ashraf berkonsepkan Al-Quran

Sangat unik dan lain dari yang lain... kad jemputan Ashraf Muslim berkonsepkan Al-Quran. Ashraf akan bernikah bersama pasangannya pada 1 Sept 2011 di tanah suci Mekah. Semoga segala persiapan berjalan dgn lancar... insyaallah... 

Unik
Kad jemputan kahwin Ashraf Muslim

Tuesday, August 9, 2011

Ashraf berangkat ke Mekah

Ashraf Muslim bernikah 1 Syawal
TARIKH 1 Syawal bakal menjadi tarikh yang bersejarah buat aktor, pengacara dan pengamal perubatan Islam, Ashraf Muslim. Tatkala takbir dilaungkan Ashraf yang akan menyambut Aidilfitri di Mekah turut akan menamatkan zaman bujangnya bersama tunangnya Noor Dayana Lokman, 24,

Kiranya tahun ini merupakan tahun terakhirnya menikmati bulan Ramadan sebagai orang bujang kerana selepas ini kehidupannya dilengkap wanita bergelar isteri.

"Saya akan berangkat ke Mekah pada 17 Ogos dan akan berada di sana sehingga 5 September. Sebelum bernikah pada 1 Syawal, saya akan menunaikan umrah terlebih dahulu.

"Puasa sebagai orang bujang, bagi saya sama sahaja dengan orang lain tidak ada bezanya, cuma selepas berkahwin kelak, akan ada orang yang menjaga makan minum saya dan tanggungjawab saya juga bertambah," ujarnya yang gemar menyambut puasa di Mekah.

Ashraf mengakui buat masa ini dia tidak terlibat dengan mana-mana komitmen lakonan kerana terlalu sibuk dengan tugasnya sebagai pengamal perubatan Islam di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, Gombak, Selangor dan juga sibuk dengan persiapan perkahwinannya.

"Sekarang saya sibuk dengan kerja dan juga persiapan akhir untuk perkahwinan, kerana terlalu sibuk kad kahwin pun saya belum hantar lagi sedangkan tarikh nikah serta resepsi perkahwinan sudah semakin hampir," jelasnya yang ditemui ketika sesi penggambaran program Jom Berbuka terbitan TV9.

Tuturnya lagi, sekembalinya mereka berdua dari Mekah, majlis resepsi pihak perempuan akan diadakan pada 17 September di kediaman bakal isterinya di Gombak.

Majlis resepsi sebelah pihak lelaki pula akan berlangsung pada 24 September bertempat di MITC, Melaka.

"Majlis kami berlangsung secara sederhana sahaja dan baru saya tahu bukan senang untuk melaksanakan sebuah majlis perkahwinan kerana banyak perkara perlu diteliti," balasnya.

Puasa, nikah, hari raya

Pemergiannya ke Mekah pada bulan Ramadan tahun ini bukan yang pertama kali, sebaliknya kali yang ketiga. Tidak mahu mendabik dada, jelas Ashraf, pengalaman berpuasa di Mekah buat pertama kali pada tiga tahun yang lalu, kini membawanya ke sana saban tahun.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk terangkan keseronokan berpuasa di Mekah. Bila saya pulang ke Malaysia, rasa rindu untuk kembali ke sana, itu yang menyebabkan saya ke sana apabila tibanya bulan Ramadan," ujarnya.

Tambahnya, selain seronok dapat menikmati puasa dengan jutaan umat islam dari seluruh dunia, dia juga tidak dapat melupakan pemandangan indah setiap kali waktu berbuka di Mekah.

"Seronok puasa di Mekah, sebab apabila berbuka saya akan duduk di satu sudut yang pemandangannya sungguh indah dan rasa lain sangat kerana nampak Kaabah depan mata kita sendiri.

"Di sana, saya hanya berbuka dengan buah kurma segar dan minum air, itu sudah cukup. Selepas solat tarawih baru mengambil makanan berat," katanya yang menyifatkan puasa di Mekah tidak kurang meriahnya seperti di Malaysia.

Satu perkara yang menarik, apabila tibanya Ramadan, Ashraf memilih masjid di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak, Kuala Lumpur untuk menunaikan solat tarawih.

"Bukan saya tidak suka solat tarawih di masjid lain, saya ada juga pergi tetapi saya suka bersolat terawih di UIA sebab cara mereka menunaikan solat tarawih sama seperti di Mekah. Jadi, tidak secara langsung saya terasa seperti menunaikan solat tarawih di Mekah," ungkapnya.

70 orang pesakit

Sejak memberi fokus pada kerjaya baharunya sebagai pengamal perubatan Islam, sesekali, Ashraf dipanggil doktor oleh pesakit yang dirawatnya.

Tidak kisah dengan apa sahaja panggilan buat dirinya kerana sebelum ini dia juga sudah terbiasa dipanggil ustaz dek kerana wataknya dalam drama popular Ustaz Amirul.

"Saya tidak kisah orang nak panggil saya apa asalkan mereka selesa tetapi saya masih Ashraf yang dulu tidak berubah," katanya.

Jika dulu Ahsraf Muslim lebih dikenali sebagai aktor tetapi sejak berkecimpung dalam dunia perubatan Islam bersama Pusat Rawatan Islam, Al-Hidayah, kelibatnya jarang-jarang kelihatan di kaca televisyen.

Jelasnya, dia bukannya mahu memencilkan diri daripada dunia seni, kerana hakikatnya kini dia masih sibuk dengan produksi program-program berunsur ilmiah.

"Saya masih lagi dalam dunia seni, cuma saya akan beralih ke bidang lain, bidang apa saya belum tahu lagi sebab dalam bidang seni ada pelbagai cabang kerjaya.

"Bukan saya tidak mahu jadi pelakon lagi, boleh, asalkan ada watak yang sesuai dan mengikut kelapangan waktu. tetapi buat masa ini jadual saya terlalu padat, bayangkan sehari saya harus merawat sehingga 70 orang pesakit.

"Jadi, waktu saya diberikan sepenuhnya untuk merawat pesakit dan sekarang saya juga sibuk dengan persiapan perkahwinan sekali gus tidak mengizinkan saya untuk terlibat dalam lakonan," ucapnya.

Beritahunya lagi, tidak lama lagi dia akan muncul dengan programnya sendiri yang memberi fokus kepada pesakit yang datang ke pusat rawatannya